Rencana : COVID-19: Kes Harian Baharu Lepasi 33 Ribu, Kes Kumulatif 3.56 Juta


Oleh Melati Mohd Ariff Berikut adalah Rangkuman Mingguan Bernama mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 26 Feb hingga pukul 11:59mlm 4 Mac 2022. Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melepasi 3.56 juta kes. Di peringkat global, lebih 443 juta kes dilaporkan dengan kes kematian lebih 6.0 juta kes. Lebih 376 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 yang masuk tahun kedua sudah merebak ke 226 buah negara dan wilayah. KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kes harian baharu COVID-19 melonjak kepada sebanyak 33,209 semalam dengan 11 buah negeri mencatat kes empat angka, didahului Selangor sebanyak 8,897 kes. Ini kali kedua minggu ini, Malaysia mencatat kes melepasi 30 ribu. Pada 3 Mac 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sebanyak 32,467 kes.  Negeri lain yang mencatat kes empat angka pada 4 Mac 2022 ialah WP Kuala Lumpur (4,105), Kedah (3,060), Pulau Pinang (2,592), Johor (2,359), Sabah (2,131), Negeri Sembilan (1,679), Kelantan (1,572), Perak (1,544), Pahang (1,535) dan Sarawak (1,333). Kes import terus menunjukkan trend meningkat dengan semalam sebanyak 441 kes dilaporkan  berbanding 413 kes pada 3 Mac. Rekod kes import lain sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (26 Feb hingga 4 Mac 2022) ialah  26 Feb (256 kes), 27 Feb (246 kes), 28 Feb (298 kes), 1 Mac (448 kes) dan 2 Mac (428 kes). -BERNAMA  

Post a Comment

0 Comments