Oleh Melati Mohd Ariff Berikut adalah Rangkuman TERKINI Mingguan Bernama mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 12 Mac hingga pukul 11:59mlm 19 Mac 2022. Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melepasi 3.95 juta kes. Di peringkat global, lebih 467 juta kes dilaporkan dengan kes kematian lebih 6 juta kes. Lebih 399 juta pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh. Pandemik COVID-19 yang masuk tahun kedua sudah merebak ke 225 buah negara dan wilayah. KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kes harian baharu COVID-19 negara kekal bawah 30,000 sepanjang tempoh seminggu ini dan dalam masa yang sama, jumlah rakyat Malaysia yang dijangkiti menghampiri empat juta dengan 34,244 kematian. Sebanyak 24,241 lagi kes dilaporkan semalam (18 Mac), menjadikan kes kumulatif COVID-19 sebanyak 3,951,678. Sebanyak 521 kes daripada 24,241 kes adalah kes import dengan 487 daripadanya (93.5 peratus) adalah warganegara Malaysia. -BERNAMA
0 Comments