Oleh Soon Li Wei, Wan Muhammad Aslah Wan Razali & Muhammad Mikhail Mohazar Ekspedisi Bernama ke Kampung Kaloi dan Kampung Bering, Gua Musang, Kelantan yang disertai oleh wartawan Soon Li Wei, Wan Muhammad Aslah Wan Razali dan Muhammad Mikhail Mohazar serta jurukamera Shahrizan Jefri Aziz dan ‘pilot darat’ Ahmad Syukor Muhamad Zilmin, dengan kerjasama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) mengupas isu masyarakat Orang Asli Temiar serta kesan pembangunan dan pembalakan terhadap petempatan mereka. Projek yang mendapat tajaan geran mikro daripada Cent-GPS Malaysia dan Kedutaan Amerika Syarikat ke Malaysia itu berlangsung dari 11 hingga 16 Jun lepas. Ini artikel pertama daripada siri rencana dua bahagian. GUA MUSANG (Bernama) -- Menaiki kenderaan pacuan empat roda melalui bekas jalan balak yang sempit dan licin, serta menyusuri tebing sungai dan kawasan curam selain dilibas reranting pokok selama kira-kira dua jam ke Kampung Bering di sini, benar-benar menguji daya tahan kami yang sudah terbiasa dengan perjalanan lancar tanpa “gedebak-gedebuk” dilantun kenderaan. Terletak kira-kira lima jam memandu dari bandar Gua Musang atau dua jam dari Kampung Kaloi, perjalanan lasak ke Kampung Bering itu bagaimanapun nyata berbaloi, khususnya buat pencinta alam sekitar, lantaran mata dihidangkan pemandangan indah Banjaran Titiwangsa yang melatari kembara kami. Selain itu, keterujaan untuk meluangkan lima hari bersama orang Asli suku Temiar di kampung tersebut dalam ekspedisi bersama-sama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), menyebabkan penulis, dua rakan sejawatan - Aslah dan Mikhail- serta jurugambar Shahrizan dan pemandu Syukor, mengatasi rasa gementar tatkala kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki sekali-sekala tergelincir akibat jalan licin. -BERNAMA
0 Comments