Oleh Melati Mohd Ariff Berikut adalah Rangkuman TERKINI Mingguan Bernama mengenai COVID-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 31 Dis 2022 hingga pukul 11:59mlm 6 Jan 2023. Kes kumulatif COVID-19 di Malaysia melepasi 5.02 juta kes. Di peringkat global, lebih 667 juta kes dilaporkan dengan kes kematian sekitar 6.7 juta kes. Jumah pesakit COVID-19 yang sembuh dilaporkan lebih 639 juta. Pandemik COVID-19 yang masuk tahun keempat merebak ke 229 buah negara dan wilayah. KUALA LUMPUR (Bernama) -- Masuk tahun keempat sejak kes awal COVID-19 dilaporkan merebak di Wuhan (China), virus penyakit berjangkit ini terus bermutasi dan masih mengancam kesihatan, ekonomi dan masyarakat dunia secara keseluruhan. Dalam taklimat media secara maya dari Geneva, Switzerland pada 4 Januari lepas, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyuarakan kebimbangan penularan meluas COVID-19 melibatkan subvarian baharu di beberapa bahagian dunia. Salah satu subvarian Omicron yang pada asalnya dikesan pada Oktober 2022 ialah XBB.1.5 - rekombinan dua BA.2 sublineage - diberitakan sedang meningkat di Amerika Syarikat serta Eropah dan dikenal pasti di lebih 25 buah negara. Para pakar menggelarkan strain Omicron XBB.1.5 ini dengan nama ‘Kraken’ yang berpotensi mencetuskan gelombang besar COVID-19. WHO dilaporkan sedang membuat penilaian risiko strain XBB.1.5 ini. -
BERNAMA
0 Comments